LOGO PEJABAT DAERAH KECIL & TANAH GEMAS

PORTAL RASMI

PEJABAT DAERAH KECIL DAN TANAH GEMAS

Bersih . Muafakat . Sejahtera

LOGO PEJABAT DAERAH KECIL & TANAH GEMAS

PEJABAT DAERAH KECIL & TANAH GEMAS

Sejarah Dan Asal Usul Daerah Gemas

Sejarah Dan Asal Usul Daerah Gemas

Gemas adalah sebuah pekan kecil yang terletak di bahagian tenggara Negeri Sembilan Darul Khusus. Ia bersempadan dengan negeri Johor dan dipisahkan oleh Sungai Gemas. Disini juga merupakan tempat jaringan keretapi utama yang  menghubungkan Utara, Selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Latarbelakang Gemas

Gemas adalah sebuah pekan yang berorientasikan pertanian sebagai sumber ekonominya. Sifatnya sebagai pekan pedalaman menyebankan ia lambat berkembang dari segi kependudukan dan pekerjaan. Tambahan pula terdapat persaingan hebat daripada bandar-bandar yang berdekatan seperti Tampin (di Utara), Bahau (di Timur) dan Segamat (di Selatan).

Keistimewaan Gemas ialah merupakan ia merupakan tempat persimpangan landasan keretapi ke Pantai Barat, Pantai Timur dan ke Selatan Semenanjung Malaysia. Oleh itu, ramai pekerja Keretapi Tanah Melayu (KTM) tertumpu di pekan Gemas ini. Semenjak pertengahan tahun 1960an dan 1970an, dengan wujudnya rancangan-rancangan FELDA di sekitar kawasan Gemas, maka pekan Gemas ini mula berkembang.

Sejarah dan asal usul Gemas

Penduduk Gemas menceburkan diri dalam pelbagai jenis pekerjaan seperti pertanian, perniagaan, bidang swasta, kakitangan kerajaan, pekerja kilang papan, peneroka FELDA dan sebagainya. Ditinjau dari segi komposisi penduduknya, majoriti penduduk di Gemas adalah kaum melayu disusuli kaum Cina dan kaum India. Kebanyakan orang Melayu tinggal di kawasan FELDA manakala orang Cina pula menguasai ekonomi dan menetap di kawasan pekan. Sementara itu, kebanyakan orang India pula tinggal di estet-estet yang terletak berhampiran dengan pekan Gemas.

Sejarah Pembukaan Gemas

Gemas dipercayai dibuka sekitar tahun 1900. Ia diasaskan oleh seorang pahlawan Melayu bernama Tok Subun yang berasal dari Melaka. Tok Subun ialah seorang pahlawan yang gagah perkasa, mahir dalam ilmu silat serta disegani oleh penduduk Gemas. Tujuan beliau datang ke Gemas ialah untuk membuka sebuah ladang. Kebanyakan pada masa itu ialah orang-orang asli yang berkuturunan “Kenaboi”.

Tujuan Pembukaan Gemas

Gemas dibuka kerana kedudukannya sesuai sebagai tapak perhentian keretapi yang menjadi persimpangan dari timur, barat, utara serta ke selatan. Pada masa itu, Gemas juga terkenal depot baikpulih kepala keretapi yang ditempatkan di Bukit Loco yang masih ada sehingga sekarang. Disamping itu, Gemas juga penting sebagai tempat perniagaan dan persinggahan.

Gemas dianggarkan berusia lebih kurang 100 tahun. Terdapat beberapa cerita mengenai asal-usul nama Gemas. Antaranya ialah:

Paya Akar

Sebelum Gemas dibuka, ia dikenali dengan nama “Paya Akar”. Ini adalah kerana di tempat berhampiran dengan Bukit Loco terdapat beberapa kawasan paya. Kawasan ini pula dipenuhi dengan pokok ara yang lebat akarnya.

Ayer Terap

Sebelum berlakunya Perang Dunia Pertama, nama Gemas digelar sebagai Ayer Terap. Nama ini berasal daripada sejenis pokok terap yang mengeluarkan cecair atau lendir. Tambahan pula dikawasan tersebut, terdapat banyaknya pokok terap yang juga merupakan tempat pembiakan nyamuk. Walaupun namanya telah digantikan dengan nama lain, namun ada segelintir orang-orang tua disini yang masih menggelarkannya dengan nama ini.

Gold + Emas = Gemas

Penduduk tempatan mengatakan ia sebenarnya dinamakan sempena penemuan tempat lombong emas di sebuah gua yang mereka namakan ‘Gomeh’ (gua emas). Ada juga mengatakan ia bermula apabila orang Inggeris berhujah dengan orang tempatan mengenai nama logam emas yang dijumpai ini. Orang Inggeris menamakan ‘gold’ tetapi penduduk mengatakan ia ‘omeh’ dan gabungan kedua-duanya menjadi Gomeh sebelum ejaannya dimuktamadkan sebagai Gemas. Apa pun ia sebenarnya berkaitan dengan penemuan logam emas.

Kedua-duanya saling berkaitan dan mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa gua emas itu memang wujud, cuma ia sebenarnya adalah bekas tapak lombong emas yang terletak di sebuah bukit. Teori awal yang mengaitkan perdebatan mengenai emas itu memang logik kerana diakui, pelombong asalnya ialah orang Inggeris yang bekerjasama dengan penduduk tempatan.

Berikutan penemuan lombong emas itu, nama Gemas terus popular dan ditukar menggantikan nama asal iaitu Ayer Terap. Dikatakan Gua emas itu terletak Bukit Jalor, kira-kira lima kilometer dari Simpang Dua. Kedudukannya di atas bukit dikelilingi kebun getah dan memerlukan pengunjung mendaki bukit kira-kira 500 meter untuk sampai ke lokasi.

Perkembangan Gemas

Perkembangan awal Gemas adalah bergantung sepenuhnya kepada sumber ekonomi dalam bidang pertanian. Sumber pendapatan itu adalah hasil tanaman dan ternakan penduduk-penduduk tempatan. Setelah beberapa buah kilang papan dan deretan kedai dibina, barulah penduduk-penduduk Gemas giat dalam aktiviti perniagaan. Disamping itu, Gemas juga penting sebagai pusat pengumpulan hasil pertanian dan kayu-kayan. Hasil-hasil tersebut lazimnya akan dieksport melalui pengangkutan yang ada.

(sumber Warisan: Jurnal Persatuan Sejarah Malaysia (1995) – Penulisan Norasmah Bt Kamani, Norshafarin Bt Jamaludin, Chan Chee Chyn.)

Skip to content