LOGO PEJABAT DAERAH KECIL & TANAH GEMAS

PORTAL RASMI

PEJABAT DAERAH KECIL & TANAH GEMAS

Bersih . Muafakat . Sejahtera

LOGO PEJABAT DAERAH KECIL & TANAH GEMAS

PEJABAT DAERAH KECIL & TANAH GEMAS

Kekang salah guna darjah kebesaran

SEREMBAN – Kerajaan negeri akan membentangkan rang undang-undang bagi mengekang salah guna darjah kebesaran Negeri Sembilan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) dijadualkan 8 Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, undang-undang itu akan memastikan gelaran kebesaran negeri tidak dianugerahkan sewenang-wenangnya terutama pihak yang tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.

Beliau berkata, Enakmen Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1991 (Enakmen No.5 tahun 1991) dan Enakmen Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1991 (Semakan 2014) (Enakmen 7) dicadang untuk dimansuhkan.

Sebaliknya, katanya, ia dicadang digantikan dengan Enakmen Lambang, Anugerah dan Gelaran (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Negeri Sembilan 2017.

“Di Negeri Sembilan, hanya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan sahaja mempunyai bidang kuasa terhadap hal-hal berkaitan anugerah kebesaran negeri.

“Tiada individu lain dibenarkan berbuat demikian atau mengadakan upacara penganugerahan darjah kebesaran sewenang-wenangnya,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini, semalam.

Mohamad berkata, rang undang-undang itu akan menggunakan Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016 serta Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016 sebagai templat, dengan beberapa tambahan untuk disesuaikan dengan negeri ini.

Menurutnya, rang undang-undang tersebut sudah diluluskan Dewan Rakyat pada 23 November lalu.

“Di bawah kesalahan berkaitan akta tersebut, boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun, bagi sesiapa yang bersalah terlibat dalam upacara penganugerahan haram dan membuat atau memiliki lambang yang tidak diiktiraf.

“Manakala mereka yang meminta untuk anugerah atau cuba menjual anugerah palsu berhadapan dengan hukuman 20 tahun penjara,” katanya.

Mohamad berkata, di bawah undang-undang negeri sedia ada, mereka yang melakukan kesalahan itu hanya dikenakan denda sahaja, sebaliknya dengan rang undang-undang baharu itu nanti, hukuman penjara turut akan diselitkan.

( sumber dari Sinar Harian )

Skip to content